Daftar PADU Didakwa Boleh ‘Kantoikan’ Lelaki Sembunyi Kahwin 2?

Kongsikan Artikel Ini

31 Mac ini merupakan tarikh terakhir rakyat Malaysia mengisi dan mengemaskini Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) sebelum bantuan bersasar mula dilaksanakan pada 1 April akan datang.

PADU
Daftar PADU Didakwa Boleh 'Kantoikan' Lelaki Sembunyi Kahwin 2? 5

Menerusi maklum balas netizen di media sosial, masih ramai memilih untuk tidak mengisi sistem tersebut kerana ‘bimbang’ maklumat data mereka tertiris dan disalahgunakan oleh pihak bertanggungjawab.

Baca Juga :

Namun lain cerita pula bagi seorang ahli perniagaan di Temerloh, Pahang. Beliau tidak mahu mengisi sistem itu kerana bimbang ‘terkantoi’ kahwin dua.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang peguam, Ahmad Nizam Hamid, menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

Menurut beliau, rakannya yang berusia 50-an telah berkahwin kali kedua dengan pekerja sendiri secara sembunyi sejak tiga tahun lalu.

PADU
Ahmad Nizam Hamid menceritakan semula kisah mencuit hati rakannya itu

Dakwaan Daftar PADU Kantoikan Lelaki Sembunyi Kahwin Dua

“Dia kahwin senyap-senyap di Perlis atau Terengganu, saya tak ingat.

“Sebab antara dua negeri itu kalau kahwin dua, tak perlu minta izin isteri pertama.

“Dia takut nak isi nama isteri kedua dalam Padu sebab takut isteri pertama dia tahu,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Ahmad Nizam tidak mahu masuk campur hal rumah tangga kenalannya yang rumit itu.

“Saya hanya mampu menjawab yang saya tidak ada jawapan.

“Tak tahu nak berikan pendapat dan tak boleh nak nasihat apa-apa dalam bab ini tentunya dengan ketawa kecil,” memetik katanya di Facebook.

Difahamkan ahli perniagaan itu dengan jarak umur sebanyak 20 tahun, hasil perkahwinan kedua telah dikurniakan seramai dua cahaya mata. Manakala dengan isteri pertamanya berusia 40-an pula seramai empat orang anak.

Isteri kedua ahli perniagaan itu tinggal dan bekerja di daerah yang sama di Temerloh, Pahang. Namun isteri pertamanya tidak pernah tahu kewujudan madunya, walaupun tinggal di daerah sama.

Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, PADU telah terbukti mempunyai standard keselamatan data yang baik selepas beroperasi selama hampir 100 hari tanpa gangguan.

Situasi itu menyakinkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendaftar dalam sistem tersebut.

“Kita telah berjaya meyakinkan orang ramai mengenai isu-isu keselamatan. Kita telah nyatakan sistem ini dibina sebegitu rupa sehingga berjaya menghasilkan satu sistem yang bergerak kukuh selama 84 hari kita beroperasi tanpa ada gangguan.

“Kita berjaya tunjukkan keselamatan data suatu perkara yang utama dan tidak berlaku kebocoran maklumat. Kita tekankan sistem ini dibangunkan oleh penjawat awam.

“Kita bersama Jabatan Digital dan pelbagai pihak dalam aspek keselamatan (siber/data) yang membolehkan sistem ini menjadi penanda aras baharu untuk penjawat awam dan negara,” petik Berita Harian.

Sumber : Malaysiakini


Kongsikan Artikel Ini