Penguatkuasaan pelitup muka bukan perubatan ditangguh sehingga 1 Januari 2023

Kongsikan Artikel Ini

pelitup muka


PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menunda penguatkuasaan pewartaan perakuan standard pelitup muka bukan perubatan yang sepatutnya pada 4 Julai ini kepada 1 Januari depan.


Perkara tersebut diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ekoran respons awam termasuk pihak industri terbabit.
“Setelah ambil kira maklum balas masyarakat, kementerian menangguhkan penguatkuasaan pewartaan,” kata beliau pada Majlis Amanat Menteri Bersama Pihak Industri, di sini hari ini.


Program itu diadakan sempena dengan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 kelmarin.
Seramai 130 peserta terdiri daripada pengilang, pengimport serta persatuan pelitup muka bukan perubatan dan wakil agensi hadir mengikuti sesi taklimat yang berlangsung sebelumnya.

Sesi khas itu membolehkan pihak terbabit diberi pencerahan dan persediaan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pewartaan itu bertujuan memastikan produk dihasilkan termasuk diimport mempunyai penandaan sah standard Malaysia (MS) dikeluarkan SIRIM.

“Ini juga bagi memastikan pelitup itu mematuhi piawaian dan berkualiti demi keselamatan pengguna selain meningkatkan perlindungan daripada jangkitan Covid-19,” katanya,
Usaha terbaharu ini juga bagi mengatasi isu masalah lambakan barangan sub-standard dalam pasaran tempatan yang berisiko tinggi kepada tahap kesihatan masyarakat tempatan.
Sumber – Utusan Malaysia


Kongsikan Artikel Ini