TERKINI : Pencarum Boleh Keluarkan Simpanan KWSP Jika Terdesak

 


Baru-baru ini, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) mencadangkan kerajaan supaya membenarkan pengeluaran wang khas daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengikut kategori dan keperluan bagi mengurangkan beban kehidupan sekarang.

Pengerusinya, Azmi Mohd Tahir, berkata pengeluaran khas KWSP 2.0 ini amat diperlukan oleh golongan B40, M40, kerana mereka yang diberhentikan kerja dan ibu tunggal di seluruh negara.

“Bagi suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap serta tidak aktif lagi mencarum, kita berharap mereka dibenarkan untuk mengeluarkan semua simpanan persaraannya.

“Ini bagi membantu mereka menyara kelangsungan hidup yang semakin terhimpit, di samping membantu ekonomi keluarga dan kemajuan pendidikan anak mereka.

“Masalah sama dialami bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja secara sukarela, baru berhenti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta sukar mendapat pekerjaan disebabkan faktor usia dan kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, pencarum B40 dan M40 yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun ke bawah dan mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi RM20,000 sepatutnya dibenar mengeluarkan 30 peratus daripada akaun berkenaan.

“Pengeluaran ini mengikut keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk mengatasi masalah ekonomi yang tidak menentu dan peningkatan harga barang berterusan memandangkan sehingga kini pihak kerajaan masih gagal menanganinya dengan baik.

“Bagi pencarum B40 dan M40 yang aktif mencarum serta mempunyai baki simpanan di Akaun 1 kurang RM20,000 mereka seharusnya dibenar mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki RM200 dalam Akaun 1 dan 2,” katanya. –

Sumber - BERITA HARIAN