Had Gaji Maksimum Bantuan Elaun Pekerja OKU Dinaikkan Ke RM1,500



Kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.


Dalam pengumuman khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) hari ini, Muhyiddin berkata sebanyak RM26 juta akan disediakan untuk tujuan itu yang bakal memanfaatkan hampir 5,000 Orang Kurang Upaya (OKU).

RM20 Juta Untuk Memperkukuhkan Program Seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat


“Selain itu, bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan OKU dan warga emas, kerajaan bersetuju menambah RM20 juta untuk memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya dalam pengumuman itu yang disiarkan secara langsung menerusi semua platform media.

Muhyiddin berkata golongan OKU akan berpeluang mendaftar dan memperbaharui perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma sebagai galakan untuk mereka menceburi bidang perniagaan.


BSN Sediakan RM25 Juta Di Bawah Skim Mikrokredit Istimewa OKU Sehingga RM50,000 Dengan Kadar Faedah Serendah Tiga Peratus


Selain itu katanya Bank Simpanan Nasional (BSN) turut menyediakan RM25 juta di bawah Skim Mikrokredit Istimewa bagi OKU menceburi perniagaan dengan had pembiayaan hingga RM50,000 dan kadar faedah serendah tiga peratus.

Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan akan menyediakan dana RM30 juta untuk memperkasa usahawan wanita, Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro serta Program Shop Malaysia Online.

“Sebagai tambahan, BSN juga akan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Mikro Pemerkasa-Nita untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Muhyiddin berkata peruntukan RM10 juta dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Prihatin OKU merupakan inisiatif ke-18 di bawah Pemerkasa, manakala Prihatin Wanita adalah inisiatif ke-17 program itu.

Sumber - Bernama & malaysiakini.com