Kos haji 2022 mencecah lebih RM25,000

Kongsikan Artikel Ini

KUALA LUMPUR, 7 APRIL 2022: Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 untuk seorang jemaah haji Muassasah susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Kerajaan Arab Saudi.

KUALA LUMPUR, 7 APRIL 2022: Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 untuk seorang jemaah haji Muassasah susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Kerajaan Arab Saudi.
Kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada tahun 2019 ialah RM22,900. Peningkatan 12 peratus ini mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) yang telah dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan. Ini tidak mengambilkira pelbagai peningkatan kos dengan SOP baharu yang akan dilaksanakan pada tahun ini.


Kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat haji seperti kos penerbangan dan penginapan yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan. 
Kos-kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta perkhidmatan Mutawif selama 40-45 hari. Hampir kesemua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) dan kadar inflasi di sana.


Selain dari kos-kos langsung, TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang meliputi kursus-kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas-petugas haji. Jumlah kos tidak langsung ini sahaja mencecah RM60 juta setiap tahun.
“Kos haji yang meningkat saban tahun disebabkan faktor inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan cukai baharu, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Makkah dan Madinah. TH menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan.

 Namun, setakat ini TH masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah Muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama,” kata Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji.
“TH telah mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun yang lalu walaupun kos untuk menunaikan haji telah meningkat setiap tahun. Dalam tempoh 2001 sehingga 2019, bayaran haji telah meningkat 16% manakala kos haji pula telah melonjak sebanyak 139% disebabkan faktor luar kawalan TH. 

Rekod TH menunjukkan RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001,” tambah beliau.
Meskipun ibadat haji ditangguhkan dua kali akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak 2020, TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi semasa dan perkembangan di Arab Saudi. 
Para bakal haji juga harus membuat persediaan awal dari segi kesihatan dan perbelanjaan haji. Pada ketika ini, Kerajaan Arab Saudi masih belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi Musim 1443H/2022M.
Sumber: Tabung Haji


Kongsikan Artikel Ini