LHDN Rancak 'Ketuk Pintu'! Ini Jumlah Minima ‘Income’ Individu Yang Wajib Bayar Cukai



‘Income Tax’. Terdengar saja istilah ini, bulu roma kita terus ‘meremang’, kan? Ia taklah seram sangat pun, jauh sekali kena buat sesuatu yang menakutkan. Tidak.

Cuma apabila berbicara soal cukai, ia adalah satu bentuk bayaran yang harus kita lunaskan kepada pihak kerajaan bagi satu tempoh tertentu. Pendek kata, kita kena keluarkan duit dan bayar kepada kerajaan.

Apa itu Income Tax?

Secara amnya, cukai pendapatan merupakan sejenis cukai yang akan dikenakan kepada setiap individu bagi pendapatan yang diproses di Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar negara bagi tahun taksiran tertentu.

Terfikir juga, kenapa cukai pendapatan ini perlu dibayar oleh orang tertentu? Apa yang mewajibkan mereka untuk membayarnya? Kenapa bukan semua orang yang dipilih?

Sebenarnya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya akan memilih individu yang mempunyai jumlah pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan. Jadi bagi sesiapa yang ‘terpilih’, mereka perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

Siapa yang wajib bayar?

Cukai pendapatan biasanya dikenakan terhadap dua sumber pendapatan individu, pertama adalah pendapatan penggajian. Kedua, pendapatan perniagaan. Pendek kata, orang kerja makan gaji kena bayar, orang bisnes sendiri pun kena bayar. Faham tak?

Kategori pendapatan penggajian individu

Merujuk petikan dalam portal rasmi LHDN, individu yang layak dikenakan cukai adalah mereka yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Pengiraan ambang jumlah pendapatan individu yang tidak dikenakan cukai adalah mengambil kira pendapatan kasar tahunan yang ditolak dengan pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak.

Contohnya, individu yang mempunyai tanggungan akan mendapat pelepasan sebanyak RM2,000 bagi seorang anak berusia bawah 18 tahun manakala tolakan rebat individu (RM400) serta pasangan (RM400 jika berkenaan) dibenarkan sekiranya pendapatan cukai individu tersebut tidak melebihi RM35,000.

Kategori pendapatan perniagaan individu

Menurut LHDN, keuntungan yang diperolehi daripada perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai. Ini termasuklah sebarang perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa (ekonomi bayangan).

Terdapat dua jenis perniagaan yang layak dikenakan cukai pendapatan, iaitu milikan tunggal atau bekerja sendiri (jalankan perniagaan secara berseorangan) dan perniagaan jenis perkongsian beberapa pihak.

Perlu difahami, perniagaan jenis perkongsian itu meliputi sebarang bentuk kerjasama antara dua pihak (atau lebih) bagi menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan serta mewujudkan perkongsian keuntungan.

Perkongsian itu mungkin wujud melibatkan individu-individu, kerjasama dua syarikat, individu dan syarikat serta individu dan pemegang amanah bagi sesuatu penyelesaian.

Contoh-contoh jenis perniagaan yang akan dikenakan cukai pendapatan adalah seperti yang tertera dalam gambar di bawah:-



Sumber: portal LHDN

Bagaimana nak bayar cukai pendapatan?

Untuk pengetahuan anda, LHDN kini telah menyediakan saluran pembayaran yang lebih mudah, menjimatkan masa serta boleh diselesaikan hanya kurang daripada lima minit, iaitu secara tanpa tunai (cashless).

Kalau sebelum ini anda mungkin perlu beratur lama di mana-mana kaunter LHDN untuk menunggu giliran, kini tidak perlu lagi bersusah-payah kerana anda boleh sahaja membayarnya melalui saluran online FPX atau MyDebit di kaunter.

Tahukah anda, pembayaran cukai pendapatan secara online ini sebenarnya lebih selesa, pantas dan selesai dalam tempoh segera. Tidak perlu lagi ‘buang masa’ menunggu lama giliran masing-masing di kaunter.

Selain itu, keselamatan lebih terjamin kerana anda tidak perlu membawa wang tunai yang banyak ke kaunter. Malah transaksi wang berjalan lebih selamat kerana ia direkodkan dalam akaun bank. Menarik, bukan?

Kenali dua saluran pembayaran cukai pendapatan LHDN secara tanpa tunai yang anda boleh pilih

1. MyDebit – Perkhidmatan pembayaran yang membolehkan pengguna membuat pembayaran atau pembelian secara online menggunakan kad ATM. Transaksi boleh dibuat melalui dua kaedah, iaitu memasukkan nombor PIN kad ATM atau sistem tanpa sentuhan (Wave) di mesin POS di kaunter.

2. FPX – Perkhidmatan pembayaran yang membolehkan pengguna membayar pembelian/servis secara online melalui internet atau perbankan mudah alih. Transaksi berlaku melalui tolakan daripada akaun simpanan dan akaun semasa.

Sumber rujukan LHDN:

Siapa Kena Cukai – https://www.hasil.gov.my/individu/pengenalan-cukai-pendapatan-individu/siapa-kena-cukai/

Bila Dikenakan Cukai – https://www.hasil.gov.my/individu/pengenalan-cukai-pendapatan-individu/bila-dikenakan-cukai/