RASMI: Gaji Minima RM1,500 Bermula 1 Mei 2022



KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan kadar gaji minimum berjumlah RM1,500 bermula Mei tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penggulunganya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 petang tadi.

PERINCIAN GAJI MINIMA RM1,500

“Saya mendengar perbahasan yang dibawa oleh para perwakilan dan keluhan rakyat di luar sana. Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara,“ katanya dalam ucapan tersebut yang turut disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan yang hadir.

Menurutnya lagi, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam sebelum keputusan perlaksanaanya diputuskan oleh kerajaan.

Katanya, ia telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesannya terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

PELAKSANAAN GAJI MINIMA RM1,500

“Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum ini hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.

"Selain itu, Insya-Allah, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi memanfaatkan lebih ramai iaitu hampir 9 juta penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM8.2 bilion pada hujung bulan ini," jelasnya lagi.

BKM katanya juga telah ditambah baik daripada sebelumnya dengan meningkatkan jumlah bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

“Nilai bantuan itu ditambah mengikut klasifikasi bilangan anak bagi isi rumah yang tidak mempunyai anak, mempunyai seorang hingga dua orang anak dan isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih serta memperkenalkan kadar tambahan bagi kategori isi rumah terhad kepada ibu/bapa tunggal (IBT) dan warga emas,” tambahnya.