PEMERKASA 2021: Bantuan Untuk Industri Pelancongan




Kuala Lumpur: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumum kerajaan semalam, memberi suntikan semangat baharu kepada semua yang terbabit dalam rantaian sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ini selepas industri terbabit berdepan cabaran besar dan menjadi sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19.


"Walaupun kita sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19 yang turut memberi impak kepada seluruh dunia, kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan semua pihak yang berada dalam rantaian ekonomi berkaitan dengan sektor pelancongan seperti; penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, agensi pelancongan, aset warisan seni dan budaya serta pengurusan acara di negara ini, diberi perhatian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MOTAC juga menyokong pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengenai kebenaran rentas negara secara berperingkat menerusi inisiatif Laluan Hijau Khas terutama selepas ramai rakyat divaksin.

"MOTAC ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin yang mengumumkan PEMERKASA dalam usaha merancakkan kembali ekonomi negara pada tahun ini," katanya.

Manfaat PEMERKASA Kepada Industri Pelancongan

Menerusi PEMERKASA, industri pelancongan menerima pelbagai manfaat antaranya pelanjutan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember ini.

Penangguhan Pembayaran Ansurans Cukai Pendapatan Bulanan Bermula 1 April Sehingga 31 Disember


Selain itu, kerajaan juga bersetuju membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember ini yang diberi kepada syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa.

Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan, turut diberikan.

Geran Bantuan Khas Secara 'One-Off' Sebanyak RM3,000.


Kerajaan juga bersetuju menyalurkan Geran Bantuan Khas secara 'one-off' sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC, selain menyediakan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM600 kepada pengusaha homestay berdaftar, dijangka memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

Turut diumumkan Perdana Menteri semalam, peruntukan RM700 juta bagi melanjutkan Program Subsidi Upah (PSP) 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar, mengkhususkan sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa PKP seperti pusat sukan gimnasium dan spa.

Inisiatif PSP ini dijangka akan membantu 400,000 pekerja dan 37,000 majikan.