'Laminate' Geran Tanah Dianggap Rosak? ~ Ini Tiga Kategori Permohonan Hak Milik Geran Baharu Wajib Anda Tahu



Baru-baru tular di facebook tentang geran yang dilaminate dianggap sebagai rosak. Pemilik geran perlu untuk membuat permohonan geran yang baru untuk menggantikan geran yang rosak tersebut.


Tahukah anda sebenarnya terdapat tiga jenis kategori permohonan hakmilik geran yang baharu yang anda perlu tahu.

Terbahagi Kepada Tiga (3) Kategori:-

  • Permohonan Hakmilik Hilang.
  • Permohonan Hakmilik Rosak.
  • Permohonan Hakmilik Hancur.

Permohonan Hakmilik Hilang


Terbahagi kepada dua (2) iaitu Hakmilik Sementara (HS(D)) dan Hakmilik Kekal (GRN dan PN)

Tempoh Masa Proses Penggantian Hakmilik Hilang:

  • Hakmilik Sementara (HS(D)) = Tiga (3) Bulan.
  • Hakmilik Kekal (GRN dan PN) = Enam (6) Bulan.

Hakmilik Hilang adalah merupakan hakmilik yang dipegang oleh tuan tanah atau pihak yang berkepentingan telah hilang di dalam simpanan mereka samada hilang disebabkan kecurian atau hilang disebabkan kecuaian (miss place). 

Berikut merupakan senarai semak secara ringkas untuk permohonan hakmilik hilang mengikut individu, syarikat swasta/firma guaman dan Jabatan Kerajaan / Badan berkanun (yang tidak berokjektifkan keuntungan). Klik Sini.

Permohonan Hakmilik Rosak

  • Tempoh Masa Proses Penggantian Hakmilik Rosak ialah Dua (2) Minggu.
  • Hakmilik Rosak adalah merupakan hakmilik yang telah dianggap rosak akibat bencana atau dimakan usia atau telah di "laminate" kan.
  • Permohonannya adalah sama seperti permohonan hilang dan pemohon perlu membawa hakmilik yang rosak itu ke jabatan ini untuk diproses permohonan gantian hakmilik.

Permohonan Hakmilik Hancur

  • Tempoh Masa Proses Penggantian Hakmilik Hancur ialah Sembilan (9) Bulan.
  • Hakmilik Hancur adalah merupakan hakmilik yang telah hilang di dalam simpanan tuan tanah atau pihak yang berkepentingan dan dalam masa yang sama juga, salinan hakmilik pendua yang disimpan di pejabat tanah telah hilang dan tiada maklumat.
  • Proses permohonan memakan masa yang lama kerana memerlukan siasatan dan perlu melalui warta sebanyak dua (2) kali. Ianya juga melibatkan bantahan (jika ada) terhadap tanah yang dimaksudkan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.