Malaysia Boleh Capai Status Ekonomi Berpendapatan Tinggi Dalam Tempoh Lima Tahun



KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin Malaysia di landasan yang tepat untuk capai status ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun.


Katanya, Malaysia telah melalui banyak perubahan dari segi struktur ekonomi dan kini antara pengeluar semikonduktor, barangan elektrik utama, serta pengeluar terbesar sarung tangan getah global.

Perlu Pastikan Peluang Yang Saksama Untuk Semua Rakyat Malaysia


Tambahnya, kejayaan dan pengalaman Malaysia sebagai negara terpantas mengubah status dari pendapatan rendah ke menengah dalam era ekonomi moden, diyakini dapat menerajui negara dalam mencapai statusnya, biarpun berdepan krisis COVID-19.

“Berdasarkan semangat itu, penting untuk kerajaan melihat kembali, bukan sahaja kelajuan pertumbuhan Malaysia, tetapi juga keterangkuman dan kemampanan. Sebagai contoh, kita perlu pastikan peluang yang saksama untuk semua rakyat Malaysia, sediakan peluang pergerakan, dan insentif untuk rakyat terus kekal dan bekerja di Malaysia.

Sumber Yang Lebih Besar Perlu Dilaburkan Untuk Membangunkan Modal Insan Berkualiti Tinggi


“Sumber yang lebih besar perlu dilaburkan dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi, dan menyelia peluang ekonomi lebih tinggi, terutamanya untuk golongan wanita,“ katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pembentangan ‘Laporan Bank Dunia: Aiming High - Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development', secara dalam talian, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, negara akan memberi fokus kepada enam keutamaan bagi tahun 2021, dalam usaha memulihkan ekonomi negara, dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Enam keutamaan berkenaan, katanya, penghasilan peluang pekerjaan; bantuan kepada rakyat yang terjejas teruk; pendigitalan; serta menilai semula peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Selain itu, Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (SME); dan juga projek pembangunan berimpak tinggi bagi memulihkan semula ekonomi.

“Melihat kembali bagaimana kita bertukar dari negara pengeksport bijih timah dan getah, kepada negara yang mengamalkan ekonomi terbuka dan kepelbagaian, saya amat yakin kita boleh terus meningkatkan sasaran, dan melihat kehadapan dengan penuh optimis,” katanya lagi.