Sedia Bantuan Bersasar Tambahan 2 Bilion - Bank Negara Malaysia (BNM)


Peruntukan Tambahan  Daripada Bank Negara Malaysia (BNM)

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan tambahan bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) berjumlah RM2 bilion serta penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) sebanyak RM200 juta.


Bank pusat itu dalam kenyataannya hari ini berkata, tambahan itu meningkatkan jumlah peruntukan TRRF kepada RM4 bilion.


"Kemudahan ini akan disediakan sehingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal," katanya.

BNM berkata, PKS yang juga penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS PENJANA kini boleh memohon TRRF, tertakluk pada jumlah had pembiayaan tidak melebihi RM500,000.

"Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan berkaitan pelancongan, bantuan terus disediakan di bawah Kemudahan Pelancongan PENJANA yang ada," katanya.

Peruntukan Sebanyak RM200 Juta Bantu Operasi Perniagaan PKS Yang Terjejas


Mengenai DRF 2021, bank pusat berkata, peruntukan sebanyak RM200 juta ditubuhkan untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

BNM berkata, ia membabitkan daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir.

Katanya, DRF 2021 bertujuan membantu PKS menampung kos membaik pulih dan menggantikan aset untuk kegunaan perniagaan yang mengalami kerosakan.

"Dana ini ditawarkan kepada PKS Malaysia termasuk perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.

"Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun, termasuk moratorium selama enam bulan bagi bayaran pokok dan faedah. Kadar pembiayaan adalah sehingga 3.50 peratus setahun, termasuk fi jaminan.

"Kemudahan ini disediakan sehingga 31 Julai 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal," katanya.

BNM menjelaskan, perniagaan yang terjejas boleh memohon pembiayaan pada kadar konsesi daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh bank pusat itu.

"PKS dalam sektor lain boleh mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan di bawah Dana BNM untuk PKS," katanya.

Keterangan lanjut mengenai dana ini boleh didapati di www.bnm.gov.my/covid19/.

Untuk mendapatkan bantuan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di bnm.my/LINK.