Sah! Belanjawan 2021 Lulus 111 berbalas 108 Undi ~ RM10K & Moratorium Masih Dipertikai



KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 akhirnya diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hanya seorang sahaja Ahli Parlimen yang tidak hadir dan tidak mengundi.

KEPUTUSAN PENGUNDIAN BELANJAWAN 2021

“Keputusan undian belah bahagian bagi RUU Perbekalan 2021 adalah bersetuju sebanyak 111, tidak bersetuju 108 dan tidak hadir satu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

RUU Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tipis tiga Ahli Parlimen setelah perbentangan bacaan kali ketiga.

RUU ini sudah diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian suara majoriti, namun melalui laluan sukar di peringkat jawatankuasa walaupun semua 27 kementerian telah diluluskan.

PERUNTUKAN RM322.5 BILION

Daripada 27 kementerian itu, 18 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara majoriti manakala sembilan kementerian melalui undian belah bahagian.

Pada 6 November lalu, kerajaan PN memperuntukan sebanyak RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM236.5 bilion akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan (DE).

Baki RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19. 

Sumber – MalaysiaGazette