Antara Senarai Bantuan Belanjawan Negeri Sabah 2021 ~ 3 Golongan yang Akan Mendapat Manfaat Bantuan Negeri Sabah




Bantuan Khas Penjawat Awam Negeri Sabah RM600

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM600 kepada penjawat awam negeri yang akan dibayar pada Januari depan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021, berkata pemberian itu membabitkan peruntukan sebanyak RM8.7 juta.

"Saya berharap insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

"Pada masa yang sama, diharapkan perkhidmatan awam dapat terus berfungsi dengan berkesan melalui strategi dan pendekatan norma baharu yang bersesuaian serta mematuhi tuntutan norma baharu dalam tempoh penularan pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Negeri untuk menyediakan keperluan sumber manusia masa hadapan, kerajaan negeri sentiasa memberikan keutamaan terhadap pembangunan keupayaan dan kompetensi sumber manusia.

Jelasnya, usaha pendigitalan perkhidmatan awam dan ekonomi digital akan menjadi fokus utama pada tahun mendatang disokong langkah rasionalisasi agensi kerajaan negeri yang akan terus dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

"Sehingga November 2020, jumlah anggota perkhidmatan awam negeri yang menerima manfaat peningkatan kerjaya adalah seramai 762 orang. Jumlah itu adalah 5.26 peratus daripada 14,492 kapasiti anggota perkhidmatan awam negeri di kementerian, jabatan dan pejabat daerah.

"Program peningkatan kerjaya anggota perkhidmatan awam ini akan diteruskan pada tahun depan. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan penjawat awam di semua peringkat," katanya.

Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi  RM2,000

Sementara, Hajiji turut mengumumkan pemberian Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI) sebanyak RM2,000 yang diberi secara sekali bayar kepada pelajar negeri ini yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) mulai tahun depan.

RM200 Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) Pelajar STPM, SPM dan STAM

Beliau turut mengumumkan pemberian RM200 seorang menerusi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semester akhir Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama (STAM) bagi penghujung tahun 2021.

RM 12 Juta Peruntukan Untuk Bantuan Anak-Anak Sabah

Kedua-dua pemberian itu membabitkan peruntukan RM12 juta sebagai bantuan kepada anak-anak Sabah yang akan melanjutkan pelajaran ke IPT dan pelajar Tingkatan 5 serta Tingkatan 6 yang akan menghadapi peperiksaan.

Sumber: Bharian.com